Dari Suka-Suka, Youtube Sugu Pavithra Kini Jadi Buah Mulut Rakyat Malaysia

Sepasang suami isteri sama sekali tidak menyangka perkongsian video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu berjaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

S.Pavithra,28 dan suaminya M.Sugu,29, baru berjinak-jinak sebagai ‘YouTuber’ menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu kini telah mempunyai seramai 160,000 ‘subscriber’ dan secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai ‘Rakan YouTube’ atau ‘YouTube Partner’.

Lebih membanggakan, pasangan yang tinggal di kuarters sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Siput, Perak itu, mampu memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut matawang ‘Dolar Amerika’.

Pavithra yang petah berbahasa Melayu dan sangat lemah lembut, mula berminat membuat video masakan di ‘YouTube’ selepas mendapat saranan daripada seorang rakan baik yang juga merupakan ‘YouTuber’.

Menerusi temubual bersama BERNAMA, Pavithra pada awalnya tidak berkeyakinan videonya akan ditonton dan mendapat sambutan. Namun, keterujaan beliau meningkat setelah mendapat 100 tontonan pada hari pertama dan mendapat komen yang positif daripada penonton.

Menurut Pavithra, komen-komen yang diterima dari pelbagai bangsa di Malaysia yang berminat terhadap video masakkannya dan sering bertanyakan resepi merupakan sebab utama untuk beliau dan suami berkongsi lebih banyak video masakan.

Menu pertamanya adalah ikan talapia bakar dan dalam masa empat hari sahaja seramai 5,000 telah mengikut akaun ‘Youtube’nya. Lebih teruja apabila terdapat selebriti mengikuti akaun YouTube mereka yang turut mencuba resepi dan kemudian berkongsi akaun masing-masing sambil menyatakan ia adakah idea ‘Sugu Pavithra’.

Antara yang mencuba resepi kari ayam ‘Sugu Pavithra’ adalah ahli bina badan Malaysia, Sazali Samad serta YouTuber Jepun, ‘IChang RM’. Dia dan suami memilih untuk memasak makanan mudah yang bahan digunakan kebiasaanya ada di dapur setiap rumah agar lebih ramai mencuba resepi yang mereka kongsikan.

Pavithra yang hanya mempunyai satu kuali, satu sudip dan dua periuk termasuk satu untuk memasak nasi, namun baginya peralatan yang banyak atau canggih bukanlah kayu ukur untuk memasak selagi ada kemahuan.

Malah dia juga tidak mempunyai tripod unutk meletakkan telefon  pintarnya apabila membuat rakaman, sebaliknya meletakkan gajet tersebut di atas cawan sebelum diletakkan di tempat kukuh dan ternyata ia berjaya menghasilkan klip video yang cantik.

Suaminya akan membantu membuat rakaman menggunakan telefon pintar dan sebaliknya jika giliran suami pula memasak.

Sumber: YouTube Bernama

The post Dari Suka-Suka, Youtube Sugu Pavithra Kini Jadi Buah Mulut Rakyat Malaysia appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments