Ada Rakaman Mirip Muhyiddin Yassin Saat Berlaku Perg0lakan Sebelum Pembubaran PH Sebagai Kerajaan.

Rakaman suara yang dikatakan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu sebelum parti itu keluar Pakatan Harapan (PH) kini beredar di Internet.

Dalam rakaman itu, suara yang mirip dengan presiden parti Muhyiddin Yassin memberitahu mesyuarat supaya memberi kepercayaan kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada akan kekal atau meninggalkan PH.

Sumber-sumber memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa rakaman yang dibocorkan di laman web pro-Mahathir itu asli.

“Dan di kala itu mungkin kita boleh tunggulah bila Tun jumpa dengan ketua presiden parti, okay we wait for one week, for whatever it is, then we will be more sober. Hari ni a bit emosional.

(Oklah kita tunggu selama satu minggu, untuk apa sahaja, maka kita akan lebih tenang. Hari ni agak emosional).

“Dan kita fikirkan soal yang paling besar dalam sejarah kita iaitu out of PH moving to the coalition, but we still be the government. Government led by Bersatu, that is important,” kata lelaki dalam rakaman berkenaan.

(…Keluar dari PH untuk berpindah gabungan, tapi kita masih kerajaan. Kerajaan yang dipimpin Bersatu, itu penting)

Portal ini difahamkan ia dirakam di penghujung mesyuarat pada 23 Februari.

Suara itu menyebut untuk menunggu seminggu lagi sebelum membuat keputusan keluar PH tetapi masih berada dalam kerajaan dipimpin Bersatu.

Video itu dikatakan menjadi bukti bahawa Bersatu tidak membuat keputusan muktamad sama untuk keluar PH pada 23 Februari.

Ini berlaku selepas ketua penerangan Bersatu, Radzi Jidin mendakwa keputusan telah dibuat dalam mesyuarat berkenaan dan Mahathir menyokong keputusan meninggalkan PH sebelum berubah fikiran.

Pada malam 23 Februari, Muhyiddin dan pemimpin Bersatu yang lain telah berkumpul dengan kumpulan yang diketuai bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, pemimpin Umno dan PAS di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, dalam apa yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.

Ini mencetuskan krisis politik selama seminggu setelah Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Krisis itu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dari gabungan Perikatan Nasional (PN) pada 2 Mac.

Mahathir mendakwa Muhyiddin dan penyokongnya mengabaikan hasratnya untuk kekal berada dalam PH berikutan mesyuarat Majlis Presiden Harapan pada 21 Februari.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa semasa mesyuarat berkenaan, Mahathir menerima tekanan agar menetapkan tarikh untuk mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bersatu kemudian bertindak balas dengan mengancam untuk keluar daripada gabungan itu.

Namun, pada akhirnya, PH menyerahkan kepada Mahathir untuk membuat keputusan bagi menentukan tarikh beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Sebelumnya, dikatakan mesyuarat pada 23 Februari menyaksikan setiausaha politik Mahathir, Zahid Mat Arip telah mengasak Majlis Tertinggi Bersatu agar menyokong langkah keluar daripada PH.

Perkara itu diperkukuhkan apabila lelaki dalam rakaman audio berkenaan menggambarkan mesyuarat itu sebagai “emosional”.

Selain memberi mandat kepada Mahathir untuk memutuskan apakah Bersatu harus meninggalkan PH, rakaman itu juga menjelaskan bahawa Mahathir pada masa itu merancang untuk melakukan rombakan kabinet.

Mahathir sebelum ini mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Kedua-dua pemimpin berkenaan terlibat dalam ‘perang terbuka’ menjelang persidangan parlimen Isnin depan, yang merupakan kali pertama diadakan semenjak kejatuhan kerajaan PH.

Sumber : malaysiakini




Post a Comment

0 Comments