(Video)Khemah Untuk Ujian Saringan Covid-19 Dicuri, Polis Gesa Pencuri Buat Ujian Saringan

Polis menggesa sekumpulan pencuri di New Zealand yang didakwa mencuri khemah ujian saringan Covid-19, tampil untuk melakukan pemeriksaan kesihatan kerana berisiko tinggi dijangkiti.

Khemah tersebut telah dicuri di kawasan luar hospital Auckland yang didirikan untuk melakukan ujian saringan Covid-19, kata pihak polis dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa (1 April).

Ketua Unit Kesihatan Timur, Loretta Hansen berkata, kakitangannya menyedari kehilangan khemah itu ketika mereka tiba di lokasi pada awal pagi semalam untuk memulakan tugas.

“Ada manusia bod** dan tidak berguna, datang dan mencuri khemah kami – khemah kami yang digunakan untuk membuat ujian saringan Covid-19. Mereka potong (kaki) khemah itu di bahagian bawah. Ianya diperkukuhkan dengan konkrit, namun mereka tetap memotongnya,” katanya dalam video itu.

Polis daerah Manukau, Sarjan Brett Meale merayu agar pencuri tersebut memulangkan khemah berkenaan serta jalani ujian saringan Covid-19 kerana virus maut itu boleh hidup di permukaan selama beberapa hari.

“Jika khemah itu ada bersama kamu, atau kamu tahu dimana khemah itu berada, kami amat berbesar hati sekiranya kamu boleh beritahu pada pihak kami tanpa perlu memberitahu identiti kamu, kami boleh pergi ambilnya sendiri. Kamu boleh selamatkan diri daripada masalah,” ujar Meale.

“Namun jika kamu telah berkontak dengan khemah itu, saya sarankan agar kamu menyerah diri dan jalani ujian saringan Covid-19 disini,” katanya.

Hansen berkata kakitangan klinik terpaksa ‘berkejar’ mencari khemah gantian.

“Kami berjaya mendapatkannya dan kembali menyambung tugas. Kami tidak mahu ketinggalan dalam meneruskan usaha ini,” jelasnya.

New Zealand telah merekodkan sebanyak 797 kes jangkitan dan satu kematian setakat artikel ini ditulis.

Sumber: ST Singapore

The post (Video)Khemah Untuk Ujian Saringan Covid-19 Dicuri, Polis Gesa Pencuri Buat Ujian Saringan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments