(Video) Siap Ada Iringan Muzik, Jiran Sambut Bekas Pesakit Covid-19 Dengan Tepukan Gemuruh

Seorang wanita warga Sepanyol telah diberi sambutan yang begitu meriah sekali daripada jiran-jirannya sejurus pulang ke rumah pada Ahad selepas berjaya pulih daripada virus Covid-19.

Sebuah rakaman video yang memaparkan bekas pesakit Covid-19 berumur 54 tahun itu keluar daripada ambulans di Triana, Seville sambil disambut oleh jirannya dengan tepukan gemuruh dan muzik telah menjadi tular di media sosial.

Ketika wanita tersebut mula-mula melangkah keluar sahaja daripada ambulans tersebut, jiran-jirannya yang berada di balkoni rumah masing-masing bertindak menyambutnya dengan tepukan, sorakan serta alunan muzik bagi meraikan kejayaannya dalam perjuangan melawan virus maut tersebut.

Wanita tersebut dilihat sebak semasa berjalan sepanjang kaki lima di bawah blok rumahnya dan melambai-lambai kepada jiran-jiranya yang bersorak di balkoni rumah mereka.

“Makcik saya telah dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti Covid-19. Semalam (Ahad) dia telah dibenarkan pulang. Disebabkan itulah kami berpakat untuk menyambutnya dengan meriah.

Sangat luar biasa, meremang bulu roma saya.” tulis anak buah wanita itu yang muat naik video tersebut di Twitter.

Sepanyol merupakan negara di tangga kedua dunia yang paling teruk terjejas dengan 141,942 kes positif dan 14,045 jumlah kematian telah dicatatkan.

Sejumlah 43,208 kes Covid-19 juga turut berjaya dipulihkan di Sepanyol.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menyatakan bahawa perintah berkurung akan terus disambung sehingga 26 April.

“Melandaikan lekuk adalah objektif utama kami,” katanya. “Kita semakin hampir. Tapi saya perlu kerjasama semua orang untuk berkorban dan mengharungi dugaan ini bersama.

“Objektif seterusnya pula adalah untuk mengurangkan kadar jangkitan sehinggalah kadar angka jangkitan berjaya kurang daripada kadar pesakit yang pulih dalam sehari.”

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Siap Ada Iringan Muzik, Jiran Sambut Bekas Pesakit Covid-19 Dengan Tepukan Gemuruh appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments