(Video) Rakaman Cacing Naik Ke Permukaan Tanah Cetus Tanda Tanya Penduduk Setempat

Fenomena kemunculan ribuan cacing dari dalam tanah di Solo dan Klaten, Jawa Tengah, Indonesia telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam masyarakat.

Di Klaten, cacing ini telah dilaporkan muncul di perkarangan kawasan perumahan penduduk setempat. Jumlahnya dikatakan beribu dan tampak seolah-olah seperti mi.

“Nampak seperti sejumlah besar mi yang sedang dijemur. Jenis apa cacing ini kami tidak tahu, tapi badannya berkilat,” ujar salah seorang penduduk setempat bernama Suranto.

Menurut Suranto, cacing tersebut muncul pada sekitar pukul 5.30-6.00 waktu tempatan. Ianya telah muncul di permukaan halaman, tepi jalan dan sekitar rumah dengan jumlah yang besar.

Fenomena yang sama juga turut dilaporkan berlaku di kawasan Pasar Gede Solo. Jumlah cacing yang keluar juga dilaporkan sangat besar sehingga telah dilaporkan memenuhi laluan pejalan kaki di Jalan Urip Sumoharjo.

Pakar alam sekitar Universiti Sebelas Maret (UNS) Solo, Prabang Setyono, menegaskan bahawa kemunculan cacing-cacing tersebut bukan berpunca daripada aktiviti disinfektasi yang dijalankan di wilayah negara tersebut susulan daripada wabak pandemik virus Covid-19.

“Melainkan jika proses disinfektasi itu dibuat dengan mensasarkan pada satu sudut sahaja, maka berkemungkinan besar cacing itu akan keluar dengan jumlah seperti ini. Namun ianya berlaku di banyak tempat, jadi saya rasa aktiviti disinfektasi bukanlah penyebabnya,” kata Prabang kepada wartawan.

Menurutnya, cacing akan keluar dari tanah secara semula jadi sekiranya terdapat perubahan drastik yang terjadi dalam tanah. Dia mendakwa bahawa peristiwa kali ini berbeza dengan peristiwa yang sebelumnya.

Jadi adakah ianya terjadi disebabkan perubahan terhadap persekitaran? Penyelidik di Institut Sains Indonesia (LIPI), Hari Nugroho menjelaskan bahawa fenomena ini boleh terjadi disebabkan faktor perubahan iklim.

“Pada pandangan saya, pasti terdapat perubahan pada persekitaran yang mempengaruhi kemunculan cacing tanah ini. Keadaan cuaca yang tidak menentu atau perubahan musim mungkin salah satu daripada faktor utama,” kata penyelidik LIPI Hari Nugroho ketika dihubungi AFP pada Ahad (19/4/2020).

Hari, yang pernah mengkaji tentang cacing menyatakan bahawa, haiwan mempunyai kepekaan yang lebih besar terhadap sesuatu yang bakal berlaku. Namun dia berharap agar kemunculan cacing tersebut tidak ada kaitan dengan gempa bumi.

Menurutnya lagi, untuk mengetahui penyebab kemunculan cacing tanah itu, lokasi kemunculan cacing tersebut perlu diteliti terlebih dahulu. Mungkin ada perubahan pada musim peralihan atau ada kejadian semula jadi di kawasan tersebut. Untuk mengetahui fenomena ini, perlu ada spesimen. Ini kerana, banyak cacing mempunyai persamaan yang sama.

Namun begitu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mendakwa bahawa fenomena tersebut mungkin ada kaitan dengan gempa bumi.

“Fenomena kemunculan cacing yang dikaitkan dengan kejadian gempa bumi ini bukanlah perkara yang tidak berdasar. Ini kerana, fenomena kemunculan cacing tanah pada sebelum ini pernah dilaporkan terjadi dalam beberapa kejadian gempa bumi yang paling dahsyat di dunia,” kata Daryono, Pengarah Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).

Daryono memperincikan catatan kemunculan cacing dengan peristiwa gempa bumi. Menurut Daryono, fenomena kemunculan cacing tanah pernah dilaporkan terjadi 10 hari sebelum berlakunya gempa bumi Chi Chi 1999 di Taiwan.

“Pada peristiwa gempa bumi Haicheng di China, 1975, kemunculan cacing tanah yang sangat banyak ke permukaan telah dilaporkan terjadi beberapa hari sebelum gempa bumi tersebut berlaku,” kata Daryono.

Memetik kata-kata Grant dan Conlan (2015), Daryono menyatakan bahawa kemunculan cacing tanah di permukaan ketika gempa bumi ada kaitan dengan anomali gelombang elektromagnetik frekuensi rendah. Kemunculan anomali ini dilaporkan berlaku beberapa hari sebelum gempa.

Meskipun begitu, Daryono berkata, kemunculan cacing yang terjadi di pelbagai tempat di dunia sebelum gempa bumi besar berlaku secara lazimnya akan disokong oleh data mengenai kejadian alam semula jadi yang berbeza. Antara kejadian alam semula jadi itu adalah, kemunculan ular di beberapa tempat, anjing yang tidak berhenti menyalak serta ikan yang melompat-lompat keluar daripada kolam.

Dengan kejadian ini, Daryono menyatakan bahawa kemunculan cacing di beberapa tempat di Solo, Jawa Tengah, ini tidak dapat membuktikan petunjuk bahawa akan ada kejadian gempa bumi yang bakal terjadi. Ini kerana, tidak ada sokongan data untuk fenomena semula jadi yang luar daripada kebiasaan seperti yang dikatakannya sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Daryono menasihatkan kepada semua agar sentiasa berwaspada kerana wilayah Indonesia selalu dilanda dengan gempa bumi. Tambahnya lagi, gempa bumi yang kuat boleh terjadi bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu diramalkan.

Sumber: Detik

The post (Video) Rakaman Cacing Naik Ke Permukaan Tanah Cetus Tanda Tanya Penduduk Setempat appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments