(Video) Gadis Baik Hati, Bersarung Tangan Turun Ke Jalan Bagi Makan Untuk Anjing Liar Kelaparan

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, banyak program bantuan yang dijalankan oleh banyak pihak, sama ada daripada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu.

Sudah tentu bantuan berupa makanan asas yang disampaikan kepada penerima seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan sebagainya.

Namun, di sebalik ‘kesibukan’ sumbangan bantuan ini, tidak banyak yang sedar bahawa ada haiwan jalanan juga menghadapi nasib yang sama; terputus makanan kerana tiada lagi kedai-kedai makan dibuka (penuh), kurangnya orang lalu lalang di tempat awam dan lain-lain.

Haiwan jalanan ini pastinya bergantung pada sisa-sisa makanan, namun ketika PKP ini, sumber makanan menjadi sangat terhad dan boleh jadi, ada antaranya yang kebuluran dan mati akibat tiada makanan.

Namun, bagi seorang individu yang dikenali dengan nama Yusrizal Yus, haiwan jalanan seperti anjing juga perlukan hak mereka untuk terus hidup, meskipun pernah berhadapan dengan tanggapan masyarakat bahawa anjing itu ‘haram’.

Gambar: Facebook

“Mulanya sebab saya tengok segelintir masyarakat tidak pernah nak ambil peduli spesis haiwan (anjing) ini, hanya bagi makan pada kucing sahaja.

“Bila saya tegur ‘kenapa tak bagi pada anjing juga?’, jawapannya sebab anjing haram dan haiwan tersebut agresif, boleh undang bahaya.

“Bagi saya anjing tidak haram untuk diberi makan sebab anjing juga makhluk yang diciptakan Allah dan ia sebenarnya bukan haiwan yang berbahaya seperti mana yang dikatakan oleh segelintir individu,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli menerusi Facebook, hari ini.

Anak muda berhati mulia ini turut berkongsi tips bagaimana cara untuk mendekati anjing jalanan dengan selamat tanpa sebarang ancaman agresif.

“Mulanya saya takut juga dengan anjing ini, pernah kena kejar juga dengan mereka.

“Bila saya tanya ayah macamana taknak bagi kena kejar, ayah cakap jangan lari. Lepas itu panggil anjing macam panggil kucing (lembut).

“Ada juga kenalan India dan Cina selalu pesan, anjing kalau buat baik dia akan rasa selamat dan tak buat jahat pada orang itu. Di situlah saya rasa anjing ini tak jahat dan boleh didekati,” tambahnya lagi.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang dimuat naik olehnya, anjing jalanan tersebut amat jinak setelah ‘dipanggil’ dengan nada yang baik serta tidak berlaku agresif – seperti mana yang menjadi ketakutan orang ramai.

Selain itu, menurut anak jati Kelantan yang kini menetap di Kulim, Kedah itu lagi, Yus telah mula berbakti memberi anjing jalanan makan sejak mula bekerja di luar.

“Dah lama saya buat kerja macam ni. Tapi dulu bagi macam itu jelah. Bila jumpa kucing anjing tepi jalan, saya bagi je (makanan). Sekarang saya kerja outdoor selalu jumpa haiwan lapar. Situ la saya start bawa bekal untuk haiwan tu. Saya buat sambil kerja.

Roadblock mesti ada, tapi sebab ada alasan kukuh nak buat kerja, di situlah saya ambil peluang bagi haiwan gelandangan ini makan sebab kesian diorang hilang punca makanan bila kedai tutup,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini, rakaman videonya yang mengusap anjing dengan penuh kasih sayang tular ke media sosial dan mengundang rasa sebak warga maya.

Mungkin kita agak paranoid dengan sikap agresif anjing serta dilimitasi dengan hukum menyentuh haiwan berkenaan, namun anak muda ini tetap menjalankan ‘tugasnya’ dengan inisiatif sendiri.

Rakaman video ini menunjukkan Yus memakai sarung plastik di tangannya untuk menyentuh, membelai serta memeriksa keadaan anjing jalanan tersebut.

Semoga usaha anak muda yang baik hati ini menjadi inspirasi kepada kita semua agar sentiasa berasa sayang kepada haiwan-haiwan jalanan.

Biarpun anjing itu kotor, janganlah kita menganggap ianya langsung tidak boleh disantuni kerana haiwan tersebut juga adalah makhluk Allah yang berhak hidup di muka bumi ini.

Orang kata, kalau kita buat baik dengan haiwan, haiwan itu akan sentiasa mendoakan kita.

Marilah buat kebaikan sesama haiwan jalanan. Sayangilah mereka ibarat haiwan peliharaan kita sendiri.

Sumber: Yusrizal Yus

The post (Video) Gadis Baik Hati, Bersarung Tangan Turun Ke Jalan Bagi Makan Untuk Anjing Liar Kelaparan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments