(Video) Detik-Detik Cemas Bayi Terlepas Dari Pelukan Ibu Selepas Dirempuh Kerbau Dalam Ketakutan

Seekor kerbau dilaporkan telah ditembak mati oleh pegawai polis China selepas berjaya meloloskan diri ketika dalam perjalanan untuk dibawa ke pusat penyembelihan.

Rakaman yang mendebarkan itu memaparkan seekor kerbau yang kelihatan sedang ketakutan, telah menyondol seorang ibu dan bayinya kerana terdesak untuk mencari jalan keluar.

Wanita bersama bayinya itu telah diselamatkan oleh dua orang anggota keluarganya yang bergegas ke luar selepas menyedari situasi cemas itu untuk menghalau kerbau berkenaan.

Wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu walau bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan, lapor polis tempatan.

Kejadian tersebut berjaya dirakamkan oleh sebuah kamera litar tertutup yang terletak di kawasan luar rumah keluarga berkenaan di bandar Heyuan, daerah Guangdong, selatan China pada 19 April.

Wanita yang ketakutan itu dapat dilihat cuba untuk berpatah balik ke belakang ketika menyedari kerbau yang didakwa melarikan diri itu sedang menuju ke arahnya.

Dia cuba untuk mengelak haiwan tersebut, namun kerbau itu telah mengepungnya, menyondol dan melambungnya ke udara seterusnya tercampak ke arah dinding.

Wanita tersebut secara tidak sengaja menjatuhkan bayi berkenaan, sebelum kedua-dua mereka berjaya dibawa ke tempat selamat oleh dua orang ahli keluarganya yang berada di rumah pada ketika itu.

Wanita yang sedang dalam ketakutan itu cuba untuk menghalau haiwan tersebut dengan menggunakan kakinya sebelum ahli keluarganya yang lain berjaya mengusir haiwan berkenaan.

Polis tempatan menyatakan bahawa kerbau itu dalam perjalanan ke pusat penyembelihan sebelum berjaya melarikan diri daripada pemiliknya.

“Kami segera bergegas ke tempat kejadian dan menembak kerbau itu selepas mendapat kebenaran daripada biro keselamatan awam,” kata seorang pegawai kepada media.

Wanita tersebut dilaporkan hanya mengalami kecederaan pada tisu lembut sementara anaknya yang masih bayi itu tidak cedera, menurut polis.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Detik-Detik Cemas Bayi Terlepas Dari Pelukan Ibu Selepas Dirempuh Kerbau Dalam Ketakutan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments