Tiada Tanda Covid-19 Merebak Melalui Makanan – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 6 April – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa setakat ini tiada tanda menyatakan bahawa wabak COVID-19 merebak menerusi makanan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan orang ramai sekiranya terdapat pekerja restoran yang menyediakan perkhidmatan makanan bawa pulang didapati positif jangkitan itu.

“Kita belum dengar yang virus ini merebak menerusi makanan, tapi apa yang penting jika salah seorang pekerja positif, maka kita perlu saring kontak rapat di restoran itu,” katanya pada sidang media harian, di sini.

Terdahulu, terdapat laporan bahawa perkhidmatan makanan bawa pulang di IKEA Tebrau, Johor ditutup sementara sehingga diberitahu kelak kerana salah seorang pekerjanya didapati positif COVID-19.

IKEA Tebrau dalam satu kenyataan di laman webnya, memaklumkan mengenai seorang petugas didapati positif pada 1 April dan pihaknya bekerjasama rapat dengan pegawai kesihatan awam demi memastikan keselamatan petugas dan pelanggan diutamakan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung keperluan memakai penutup mulut dan hidung berada di tempat awam.

“Bagaimanapun, kami menggalakkan agar petugas kesihatan dan juga barisan hadapan seperti polis memakai penutup mulut dan hidung.

“Kepada orang awam pula, jika mereka mempunyai gejala, pakai penutup mulut dan hidung. Sekiranya anda mendedahkan diri kepada orang ramai, mungkin anda perlu memakai penutup tersebut,” katanya.

 

Sumber: Bernama

The post Tiada Tanda Covid-19 Merebak Melalui Makanan – KP Kesihatan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments