Suri Rumah Ada Peranan Bantu Cegah COVID-19

KUALA LUMPUR, 20 April — Golongan wanita terutama ibu atau suri rumah mempunyai peranan besar dalam mengekang penularan pandemik COVID-19 serta memberikan kerjasama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memasuki fasa ketiga.

Ini kerana sebagai pengurus rumah tangga mereka juga turut mempunyai tanggungjawab bagi memastikan rantaian jangkitan itu tidak merebak seterusnya boleh mengawal keadaan negara.

Pakar psikologi Dr Fauziah Mohd Saad berkata wanita terutama golongan suri rumah mempunyai ‘kuasa luar biasa’ dan merupakan insan penting dalam sesebuah institusi keluarga yang boleh mempengaruhi isi rumah dalam pelbagai perkara.

Justeru, katanya, perkara paling utama dalam mendidik ahli keluarga, suri rumah perlu memahami dan mempunyai maklumat yang secukupnya mengenai pandemik COVID-19 dan perkara berkaitan jangkitan itu.

“Maklumat banyak disediakan dalam televisyen mahupun media sosial, namun suri rumah perlu tapis sebarang maklumat diterima, akhir-akhir ini banyak informasi yang boleh menakutkan orang ramai, meningkatkan keresahan orang ramai, jadi seseorang ibu memainkan peranan penting, kena selidik mana yang betul.

“Ini penting kerana maklumat yang diterima itu akan disalurkan kepada anak-anak, ibu ni ada kuasa pengaruh minda keluarga dia, sebab tu kena ada maklumat yang tepat untuk beri kefahaman,” katanya kepada Bernama.

Fauziah yang juga Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata bagi suri rumah yang berada di luar bandar, masalah capaian internet bagi mendapatkan maklumat bukanlah satu kekangan kerana golongan itu boleh mendapatkan banyak maklumat mengenai wabak berkenaan melalui berita dan informasi yang disiarkan di televisyen saban hari.

“Dalam konteks ini suri rumah atau ibu kena berfikiran positif, dia sendiri orang yang pertama sekali kena berfikiran positif sebab kalau positif, kita keluarkan tenaga positif, tapi kalau negatif, benda negatif lah yang akan terjadi,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya Profesor Madya Dr Muhsin Ahmad Zahari tidak menafikan pengaruh ibu atau isteri dalam mendidik keluarga dan pentingnya mereka menjadi ‘model peranan’ dalam keluarga.

“Ia bermula dari dalam rumah, ibu perlu menitikberatkan soal penjagaan kebersihan bagi mengelakkan jangkitan, kalau sebelum ini kurang menekankan budaya kebersihan, ambil mudah, tetapi dalam keadaan ini kena lebih cakna.

Ibu juga kena ada ilmu, pengetahuan kesihatan perlu ada, mereka kena tahu apa itu COVID-19, bagaimana jangkitannya, jadi bila dah ada ilmu mereka tahu langkah berjaga-jaga yang perlu dibuat dan senang untuk ajar anak-anak pula,” katanya.

Beliau berkata ibu atau isteri juga perlu lebih kreatif, mereka boleh mengajak ahli keluarga melakukan kegiatan produktif seperti memasak bersama, membersihkan rumah, bermain ‘permainan video’ dalam talian dan sebagainya sebagai inisiatif mengelak kebosanan.

Sementara itu, suri rumah, Masitah Hasan, 36, berkata dalam memastikan keluarga mematuhi perintah kerajaan, beliau memastikan dirinya sentiasa mendapat informasi terkini mengenai wabak berkenaan untuk dikongsi kepada keluarga serta mendidik mereka tentang bahaya dan langkah bagi membendung penularan pandemik itu.

“Saya selalu mengikuti perkembangan COVID-19 di negara ini melalui televisyen, kadang-kadang di laman sosial pun banyak dikongsi maklumat itu, saya sebagai ibu adalah orang pertama dirujuk ahli keluarga, jadi memang saya betul-betul ambil perhatian. Kalau untuk beli barang, hanya suami sahaja yang akan keluar dan saya akan memastikan penggunaan ‘pensanitasi tangan’ dan basuh tangan dengan kerap oleh ahli keluarga saya,” katanya.

Pada 18 April lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati rakyat Malaysia untuk terus patuh kepada PKP memandangkan pendekatan itu penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak itu walaupun jumlah kes positif COVID-19 semakin menurun.

Sumber: BERNAMA

The post Suri Rumah Ada Peranan Bantu Cegah COVID-19 appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments