Sekiranya Banyak Ujian Positif, Bermakna Banyak Kes Belum Dikesan Dalam Komuniti – KP Kesihatan

Sekiranya hasil ujian saringan Covid-19 mendapati terdapat jumlah kes positif jangkitan yang ramai, ianya bermaksud masih banyak kes yang masih belum berjaya dikesan dalam komuniti, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noor Hisham berkata, garis panduan tersebut dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

”Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengeluarkan satu laporan dan laporan ini adalah penting.

”Sekiranya kita melaksanakan ujian dan banyak daripada ujian kita positif, ini bermakna banyak kes belum dikesan dalam komuniti,” kata beliau.

Ujar Dr Noor Hisham, tanda aras baru daripada WHO itu merangkumi satu kes positif daripada setiap 10 ujian yang dilaksanakan dalam komuniti di mana Malaysia telah tersenarai.

”Sekiranya tanda aras baru disasarkan oleh WHO ialah setiap 10 ujian yang dilaksanakan, kalau kita ada satu kes positif yang itu memadai telah mencapai tanda aras yang bererti 10%.

”Kalau kita lihat ujian kita, sebanyak 43,406 kes sampel yang telah kita ambil dan kes yang positif ialah 3,116 kes dan kadar positif kes kita ialah 7.2%, lebih kurang 10%.

”Ini bermakna, kita termasuk dalam tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang melaksanakan ujian ini, mencukupi untuk komuniti tersebut,” kata beliau.

Setakat hari ini, Malaysia telah mencatatkan peningkatan 208 kes baharu dan lima kematian.

Ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,116 kes dan 50 kematian di negara ini.

Manakala, seramai 122 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah mereka yang pulih sepenuhnya seramai 767 orang.

Sumber: Sidang Media KKM

The post Sekiranya Banyak Ujian Positif, Bermakna Banyak Kes Belum Dikesan Dalam Komuniti – KP Kesihatan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments