Perlu Lakukan Permohonan Jika Ingin Pulang Ke Kampung Bermula 25 April – Menteri

Orang awam yang berkeinginan mahu merentas negeri dan pulang ke kampung atau dari kampung pulang ke kediaman masing-masing perlu melaporkan diri kepada pihak polis secara atas talian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan tersebut boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia yang merupakan satu inisiatif daripada kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Komunikasi dan Multmedia Malaysia (KKMM).

“Mulai 25 April, orang awam boleh buat permohonan, lapor nama, jumlah keluarga, lokasi dan sebagainya supaya boleh dapat maklumat yang terperinci serta boleh kesan mereka dari kawasan zon merah, hijau dan sebagainya.

“Bagi yang tidak dapat mendaftar secara online, mereka boleh buat permohonan di balai polis berdekatan, namun untuk mengelakkan kesesakan, temujanji perlu dibuat terlebih dahulu dengan menghubungi pihak polis di balai berkenaan supaya boleh diatur pergerakan ke sana,” katanya dalam Sidang Media Harian PKP secara langsung, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ismail, inisiatif tersebut masih dalam peringkat kajian.

“Jika pergerakan bermula pun, saya percaya ia akan bermula selepas 1 Mei.

“Kita masih dalam peringkat kajian, tidak ada jaminan lagi setakat ini kerana masih menunggu laporan (jumlah permohonan) pada 25 April nanti.

“Waktu itulah kita akan lihat seramai mana yang mahu pulang, barulah kita boleh rancang dan keluarkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ketat,” tambahnya.

Jelasnya lagi, pihak kerajaan akan mengkaji dahulu sisi baik dan buruk inisiatif tersebut serta akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Usaha tersebut dibuat berdasarkan rintihan rakyat kini yang mahu pulang ke kampung atau negeri asal masing-masing setelah agak lama ‘terpisah’ sepanjang PKP.

Sumber: RTM

 

The post Perlu Lakukan Permohonan Jika Ingin Pulang Ke Kampung Bermula 25 April – Menteri appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments