Penerbangan Domestik Hanya Untuk Urusan Kecemasan, Penumpang Kena Ada Surat Kebenaran Dari Polis- Menteri

Putrajaya, 18 April – Menteri Kanan (Bahagian Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan individu yang ingin menaiki penerbangan domestik perlu menunjukkan surat kebenaran.

Katanya, individu yang gagal menunjukkan surat kebenaran akan dihalang menaiki penerbangan.

“Polisi kerajaan melalui perjalanan antara negeri adalah sama, sama ada melalui jalan darat, udara atau laut sekalipun.

“Jadi, penumpang penerbangan perlu mengikut prosedur operasi standard perjalanan di darat iaitu di dalam kes kecemasan sahaja yang kita benarkan,” katanya.

Tambah beliau, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran pihak polis sebelum menempah tiket.

Hal ini kerana perjalanan merentasi negeri adalah salah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Di bawah Akta 342, adalah menjadi kesalahan jika mereka bergerak lebih 10 kilometer,” ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah memaklumkan bahawa tiada penerbangan domestik di Semenanjung dibenarkan beroperasi selain penerbangan sekali seminggu ke Sabah dan Sarawak.

Merujuk kepada persoalan orang ramai yang mempertikaikan penerbangan ke dua negeri itu, Ismail Sabri berkata tiada isu status kesihatan timbul.

“Untuk Sabah dan Sarawak, sesiapa sahaja pulang dari Semenanjung, mereka perlu dikuarantin wajib di Sabah dan Sarawak. Jadi tidak timbul isu status kesihatan mereka dan sebagainya kerana mereka tetap dikuarantin wajib,” katanya.

Tambah beliau, individu yang transit lama di Semenanjung turut dikuarantin sebaik sahaja keluar dari lapangan terbang.

Difahamkan, terdapat penerbangan domestik yang masih terbang di lapangan terbang Subang setakat ini.

Sumber: RTM

The post Penerbangan Domestik Hanya Untuk Urusan Kecemasan, Penumpang Kena Ada Surat Kebenaran Dari Polis- Menteri appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments