Malaysia Sertai Kaji Selidik Dunia, Bakal Mulakan Kajian Klinikal Ubat COVID-19 Dalam Masa Terdekat – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal memulakan kajian klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon Beta, Choloquine dan Hydroxychloroquine untuk merawat pesakit COVID-19 dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat sembilan hospital yang mengambil bahagian dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedia untuk memulakan pengambilan pesakit kajian dalam kalangan pesakit COVID-19 yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (Medical Research and Ethics Commity – MREC) telah bersidang dan bekerjasama rapat dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM yang bertindak sebagai badan regulatori bertanggungjawab meluluskan penilaian penggunaan ubat tersebut.

“Penilaian yang dibuat merangkumi tiga aspek, iaitu aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data-data yang telah dikemukakan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Sehubungan dengan itu, menurut Hisham, menyedari kepentingan ujian klinikal tersebut, MREC dan NPRA telah berjaya meluluskan protokol penyelidikan dan lesen import kajian klinikal bagi ubat Remdesivir dalam tempoh yang singkat.

“Namun, pada masa yang sama, dapat mengekalkan kualiti penilaian berdasarkan prosedur dan keperluan regulatori antarabangsa.

“Kelulusan segera ini telah tercapai melalui komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa MERC dan lapan orang penilai NPRA serta pengurusan atasan bagi memastikan penilaian ubat ini adalah berkualiti serta dalam jangka masa yang ditetapkan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, kerjasama yang diterima daripada pemohon iaitu Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Ampang dan pihak WHO dalam memberi dokumen-dokumen yang diperlukan oleh MERC dan NPRA dalam masa singkat banyak membantu mempercepatkan proses kelulusan.

“Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik dunia ini dijangka dapat membantu dalam pencarian ubat bagi menyelamatkan nyawa daripada wabak COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya,” jelasnya.

Sumber: KKM, Twitter

 

 

The post Malaysia Sertai Kaji Selidik Dunia, Bakal Mulakan Kajian Klinikal Ubat COVID-19 Dalam Masa Terdekat – KKM appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments