COVID-19: Pesakit COVID-19 Dirawat Di ICU Hanya 5 Peratus, Berbanding 10 Peratus Di Negara-negara Luar- KP Kesihatan

Putrajaya, 7 April – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes COVID-19 yang memerlukan rawatan rapi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan tentang penggunaan ubat malaria (hydroxychloroquine) ketika merawat pesakit koronavirus di negara ini.

“Kalau kita lihat kini, mereka yang ke ICU hanya 5 peratus sahaja berbanding negara luar 10 peratus. Ada salah satu kemungkinan adalah kerana kita gunakan ubat ini pada peringkat awal.

Menurut beliau, terdapat lima kategori melibatkan kes positif COVID-19 di Malaysia iaitu pesakit positif yang tiada gejala (kategori 1), pesakit positif dengan gejala ringan (kategori 2), pesakit yang mempunyai radang paru-paru namun tidak memerlukan oksigen (kategori 3), pesakit yang mempunyai radang paru-paru dan memerlukan oksigen (kategori 4) dan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan (kategori 5).

Tambahnya, Kementerian Kesihatan telah menggunakan ubat tersebut bagi merawat keradangan (inflamasi).

Hydroxychloroquine adalah ubat untuk merawat malaria, tapi kita tahu ia berkesan untuk anti inflamasi.

“Kita guna sejak hari pertama lagi. Kita dapati kes-kes yang menggunakan ubat itu, kita pantau kesan sampingannya mendapati pesakit kategori satu dan dua tidak menjadi lebih teruk kepada empat dan lima.

“Jadi saya rasa ubat itu membantu dari segi inflamasi. Kurang pesakit kita masuk ke ICU dan memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 88 peratus kes di Malaysia tergolong dari kategori satu dan dua manakala 7 peratus berada dalam kategori ketiga. Tambahnya, hanya 5 peratus kes di Malaysia termasuk kategori empat dan lima.

“Jadi kalau kita lihat kemasukan ke ICU jika dibandingkan dengan negara-negara lain, mereka lebih tinggi, lebih kurang 10 peratus, kita hanya 5 peratus,” tambahnya.

Sementara itu, pesakit yang berjaya dipulihkan ialah lebih kurang 30 peratus dan kematian 1.6 peratus, jelasnya.

Hydroxychloroquine akan membantu melewatkan dari kategori satu sampai ke kategori empat atau lima,” jelasnya.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

The post COVID-19: Pesakit COVID-19 Dirawat Di ICU Hanya 5 Peratus, Berbanding 10 Peratus Di Negara-negara Luar- KP Kesihatan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments