Agong Zahir Sokongan Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 24 April – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan terhadap keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka turut menzahirkan sokongan terhadap langkah-langkah tegas lain yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 dengan berkesan di negara ini.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan mengambil maklum dengan langkah-langkah ini semasa majlis menghadap bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini,” menurutnya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Majlis menghadap tersebut berlangsung selama 30 minit menerusi sidang video di Istana Negara pada 11 pagi tadi.

Sehubungan itu, Seri Paduka telah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa  atas pelaksanaan langkah-langkah tersebut.

Ahmad Fadil berkata antara langkah tersebut ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan berisiko tinggi seperti Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor dan Simpang Renggam di Kluang, Johor.

“Ini termasuk melaksanakan perintah yang sama untuk mengekang penularan pandemik ini dalam kalangan kluster warga asing seperti di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selangor Mansion di Masjid India, contohnya.

“Langkah tegas kerajaan untuk menutup pintu masuk kepada pelancong luar untuk mengelakkan kemasukkan kes postif COVID-19 luar atau kes import turut dihargai,” katanya.

Menurut beliau, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa kerana hasil daripada langkah-langkah pantas dan tegas tersebut, peratusan jangkitan positif COVID-19 di Malaysia lebih rendah berbanding negara-negara yang lain, termasuk negara-negara maju.

“Peratusan tinggi pesakit COVID-19 yang pulih dan peratusan kematian di Malaysia yang rendah turut membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian pandemik di antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menyifatkan trend tersebut sebagai petanda baik untuk usaha memutuskan rantaian COVID-19 dan menamatkan PKP mengikut enam panduan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Enam panduan tersebut ialah negara mesti dapat mengawal jangkitan dan penularan COVID-19; mempunyai tatacara pengesanan, kuarantin dan rawatan pesakit serta kontak; mengurangkan risiko penularan di fasiliti kesihatan dan pusat rawatan; melaksanakan langkah pencegahan jangkitan di tempat-tempat umum; menangani dan mengurangkan risiko penularan dari luar negara (kes import); komuniti dididik sepenuhnya berkenaan pandemik itu selain bersedia menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu (new normal).

Beliau berkata berdasarkan rekod terkini, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mengekang rantaian pandemik tersebut dan menamatkan PKP, justeru Seri Paduka menyeru rakyat turut memainkan peranan dan memikul tanggungjawab dengan memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti.

 

Sumber: Bernama

The post Agong Zahir Sokongan Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments