51 Tahun Jalani Hidup Bersama, Pasangan Ini Meninggal Dunia Akibat Covid-19 Selang Enam Minit

Pasangan suami isteri yang telah berkahwin selama 51 tahun dilaporkan telah meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19. Mereka meninggal selang enam minit pada Ahad lalu.

Pasangan yang dikenali sebagai Stuart Baker, 74, dan Adrian Baker, 72, itu tinggal di Boynton Beach, Florida dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius namun mula jatuh sakit pada pertengahan Mac yang lalu.

Anak kepada pasangan itu, Buddy Baker, tampil bercakap secara terbuka mengenai perkara itu bagi menyedarkan orang ramai mengenai bahaya Covid-19.

Menerusi video yang dimuatnaik di Twitter, dia juga menyeru orang ramai untuk mengikut saranan yang telah diberikan oleh pegawai kesihatan awam iaitu dengan mengekalkan penjarakan sosial dan tidak keluar dari rumah.

Melalui panggilan telefon bersama CNN juga, Baker berkata bahawa lebih kurang tiga minggu yang lalu, ibu bapanya berasa tidak sihat dan pergi berjumpa dengan doktor.

Beberapa hari kemudian, simptom yang dialami oleh mereka tidak bertambah baik dan doktor mencadangkan mereka untuk pergi ke hospital. Namun mereka disuruh untuk pulang ke rumah dan mengkuarantinkan diri.

Melihat keadaan pasangan tersebut semakin teruk, Baker dan kakaknya mengambil keputusan untuk memindahkan kedua ibu bapa mereka ke ‘hospice care’. Ibu bapanya dipindahkan ke dalam bilik yang sama dan tidak lama selepas itu mereka telah meninggal dunia.

Baker berkata dia berharap cerita dari keluarganya dapat menjadi pemangkin kepada perubahan. Dia menyeru orang ramai untuk mengikuti saranan yang telah ditetapkan oleh pegawai kesihatan dengan mengamalkan penjarakan sosial, mencuci tangan dengan kerap dan duduk di rumah.

Sumber: CNN 

The post 51 Tahun Jalani Hidup Bersama, Pasangan Ini Meninggal Dunia Akibat Covid-19 Selang Enam Minit appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments