(Video) Guna 3 Bahasa Sampaikan Pesanan, Dron Terbang Dengan Senyap Pantau Pergerakan Rakyat

Pengggunaan dron bagi mengawal dan memantau pergerakan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata dron akan digunakan di 12 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas (hotspot) kes COVID-19, antaranya Lembah Pantai dan Titiwangsa.

“Penggunaan dron membantu meningkatkan keupayaan supaya kawalan pergerakan lebih cekap dan dron ini boleh terbang dengan senyap serta boleh melalui kawasan yang tidak boleh dilalui oleh pasukan ATM.

“Selain itu, dron yang digunakan ini dilengkapi dengan pembesar suara yang akan menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penggunaan dron di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield di sini, hari ini.

Affendi berkata jumlah dron yang akan digunakan untuk tujuan berkenaan tidak akan didedahkan dan enggan mengulas lanjut.

“Dron yang digunakan ini merupakan aset kerajaan dan juga sumbangan daripada pihak industri-industri swasta,” katanya.

Beliau berkata jika orang awam enggan mendengar arahan menerusi dron itu, pihaknya akan mengerahkan pasukan untuk ke kawasan yang didapati tidak mematuhi PKP.

“Selain itu, dron ini juga boleh mengambil gambar dan video individu-individu yang ingkar PKP yang pada masa sama, kami kerahkan pasukan ke kawasan terlibat,” jelasnya.

Affendi berkata dron berkenaan juga mampu berada di udara selama 40 minit hingga satu jam serta meliputi jarak sehingga lima kilometer yang dikawal melalui alat kawalan jauh.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada terdapat pegawai atau anggota ATM yang positif COVID-19, Affendi berkata hanya beberapa anggota yang dipercayai terkena jangkitan virus itu tetapi jumlahnya agak kecil.

“Ada yang terkena jangkitan COVID-19 ketika menghadiri kenduri tapi ia tidak besar, kami hanya memantau. Malahan di dalam kem-kem ATM, kami betul-betul ‘lockdown’,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai jumlah pegawai dan anggota ATM dijangkiti COVID-19.

Sumber: BERNAMA

The post (Video) Guna 3 Bahasa Sampaikan Pesanan, Dron Terbang Dengan Senyap Pantau Pergerakan Rakyat appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments