Protes Ketika Sambutan Hari Kebangsaan Bertukar Ganas, Penunjuk Perasaan Ditembak Dari Jarak Dekat

Hong Kong- Seorang lelaki dipercayai peserta protes anti-kerajaan di sini didakwa ditembak di dada oleh pihak polis ketika satu pertembungan antara dua pihak terbabit.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku ketika ribuan peserta berkumpul menyuarakan bantahan ke atas larangan protes untuk ulang tahun ke-70 pemerintahan Komunis di China.

Di Beijing, seramai 15,000 askar berarak dengan kelengkapan ketenteraan bagi meraikan ulangtahun berkenaan.

Protes selama hampir empat bulan tersebut mencabar Presiden China, Xi Jinping dalam menyatukan wilayah berkenaan setelah konflik berpanjangan melanda negara dan wilayah autonomi berkenaan.

Sebelum insiden tersebut, bendera China dinaikkan ketika sambutan di wilayah berkenaan dengan sekuriti yang ketat dan dihadiri 12,000 tetamu jemputan.

Sekurang-kurangnya 51 individu dilaporkan tercedera ketika rusuhan di mana polis didakwa menembak gas pemedih mata manakala peserta melempar bom petrol.

Menurut media tempatan, sekurang-kurangnya 96 orang penunjuk perasaan telah ditahan.

Menurut BBC, remaja berusia 18 tahun yang ditembak itu telah menjalani pembedahan namun keadaannya tidak diketahui. Polis mendakwa dia telah ditembak pada bahagian bahu kiri.

Dalam satu video, seorang lelaki yang cedera terlantar di atas tanah sambil meminta bantuan orang ramai untuk menghantarnya ke hospital.

“Hantar saya ke hospital. Dada saya sakit. Saya perlu ke hospital.”

Dalam video lain, seorang polis menembak penunjuk perasaan yang melibas batang besi ke arah pihak polis ketika pertembungan antara dua kumpulan itu.

Pihak polis mendakwa anggota mereka telah diserang dan terpaksa melepaskan tembakan bagi melindungi diri.

“Dia melepaskan tembakan ke arah penyerang bagi menyelamatkan nyawa diri sendiri dan rakannya,” kata Senior Supt Yolanda Yu Hoi-kwan kepada South China Morning Post.

“Pihak polis betul-betul tidak mahu melihat sesiapa pun tercedera, jadi kami berasa amat sedih dengan kejadian ini,” katanya.

Setiausaha Hal Ehwal Luar UK, Dominic Raab berkata, “Walaupun tiada alasan menggunakan kekerasan, penggunaan peluru hanya memburukkan keadaan.”

Sumber: BBC




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top