Kes Amuk Di Pulau Pinang Kes Terpencil, Tidak Libat Kumpulan Pelampau

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Kes amuk di Bayan Lepas, Pulau Pinang adalah kes terpencil dan tidak melibatkan mana-mana kumpulan pelampau atau individu, jelas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, lelaki yang menetak dua rakan sekerjanya itu didapati terpengaruh dengan video keganasan dari Timur Tengah yang ditonton melalui media sosial.

“Arwah (suspek) yang menyerang terpengaruh dengan banyak video bersifat ganas dari Timur Tengah serta mengenai apa yang didakwa kekejaman terhadap Islam di sana.

“Video ganas ini jika tidak difahami atau tidak didalami mungkin mempengaruhi kita… polis dapati penyerang datang daripada keluarga baik tetapi beliau terpengaruh melihat video ganas,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Isnin lepas, polis Pulau Pinang menembak mati seorang lelaki selepas menetak dua rakan sekerjanya dan menyebabkan seorang daripada mangsa maut dalam kejadian di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Sementara itu, Abdul Hamid menegaskan polis tidak lagi akan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menyebarkan artikel tidak tepat berhubung apa jua isu.

“Individu yang berkongsi artikel atau membuat komen tambahan akan ditahan… saya ingatkan tiada lagi amaran seperti sebelum ini.

“Ada pihak tidak bertanggunngjawab memuat naik artikel yang tidak tepat dengan niat menyakitkan hati orang serta mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Malah, katanya polis juga membuat laporan berhubung artikel berbaur hasutan di mana-mana platform media sosial.

“Polis kini aktif mengambil tindakan kerana ada individu tidak bertangungjawab cuba eksploitasi dan kami tidak akan berdiam diri,” katanya.

Mengulas insiden berbalas tembakan di Batu Arang, Rawang, Abdul Hamid meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti kewujudan wanita dikenali sebagai G.Moganambal, 35, tampil membantu siasatan.

“Ada individu tidak bertanggungjawab mengeluarkan komen tanpa asas dan menuduh polis… saya telah katakan sekiranya ada bukti tampil ke depan dan serahkan kepada polis atau tunggu inkues.

“Satu laporan polis telah dibuat terhadap orang yang memulakan cerita mendakwa kononnya seorang wanita cedera ditembak di kaki dalam insiden itu, pegawai (polis) menafikan yang beliau berkata demikian,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata usaha mencari dan mengesan G.Moganambal yang dilapor hilang sejak 14 Sept lepas masih dijalankan.

Setakat ini, wanita berusia 35 tahun itu belum ditemui.

— BERNAMA




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top