Ibu Nakhoda Hidup Membantu Ibu-ibu Usawahan Menerusi Tabung Hulurkan Harapan

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2019 – Program Keusahawanan Ibu Nakhoda Hidup usahasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Procter & Gamble (P&G) Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls) mengakhiri perjalanan tahun kelima setelah menjelajah ke 10 lokasi MYDIN sejak Mac tahun ini dan menyaksikan peningkatan positif dari ibu-ibu usahawan seluruh Malaysia.

Untuk tahun ini, program yang merupakan lanjutan daripada Tabung Hulurkan Harapan P&G dan MYDIN telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM135,353.27 melalui pembelian produk P&G di MYDIN sejak 8 Mac sehingga 30 Jun 2019. Dana ini akan disalurkan sebagai bantuan penambahbaikan dan perkembangan perniagaan kepada lima pemenang Ibu Nakhoda Hidup 2019.

“Ketika kita sama-sama mula mengorak langkah di dalam perjalanan program ini, kami dari Mydin memang teruja. Pertama, kita dapat membuat satu program yang sangat dekat dan berpatutan dengan majoriti pelanggan Mydin yang merupakan para ibu yang berkecimpung di dalam bidang keusahawanan. Kedua, kita dapat menubuhkan satu rangkaian ibu-ibu usahawan atau mompreneurs yang dapat menyokong, memberi inspirasi dan membantu satu sama lain dalam mempertingkatkan ilmu dalam bidang perniagaan dan juga, paling penting, untuk memastikan tiada yang keseorangan dalam perjalanan perniagaan mereka,” ujar Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd, Direktor MYDIN.

Majlis penutup Ibu Nakhoda Hidup 2019 berakhir dengan pemberian cek bernilai RM135,353.27 oleh Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd dan Encik Nantha Kumaran Kalimuthu, Pengarah Komersil P&G Malaysia kepada Pengarah Eksekutif WOMEN:girls, Puan Izza Izelan.

“Kami meneruskan kerjasama dengan WOMEN:girls dan MYDIN menerusi Ibu Nakhoda Hidup selama lima tahun berturut-turut kerana kami dapat melihat betapa pentingnya sokongan sebegini kepada ibu-ibu usahawan. Tahun demi tahun, kami melihat usahawan yang menyertai program ini tampak lebih bersedia meskipun mereka telah memulakan perniagaan sebelum Ibu Nakhoda Hidup. Program sebegini adalah penting untuk masyarakat, terutama sekali dalam mengiktiraf peranan ibu di luar institusi keluarga malah kepada peninkatan negara. Cabaran kami yang seterusnya adalah untuk melihat bagaimana program ini boleh kekal relevan untuk keperluan perniagaan kecil sederhana (SME),” tambah Encik Nantha Kumaran Kalimuthu, Pengarah Komersil P&G Malaysia.

Selain daripada itu, program Ibu Nakhoda Hidup juga mendapat sokongan dari pelbagai organisasi termasuklah Tekun Nasional (Selangor), Kelab Usahawan Selangor, Hijrah Selangor, Women Entrepreneur Network Association (WENA) dan Giat MARA (Johor) sepanjang siri jelajah seluruh Malaysia di platform digital dan aktiviti jangkauan masyarakat.

Pencarian Ibu Nakhoda Hidup 2019 yang akan berakhir pada 31 Julai telah menerima 407 penyertaan, 35% peningkatan dari tahun sebelum. Majlis penutup tahun ini disertai oleh alumni 2015, Farah Izyan dan Mazleen Mahmood dari tahun 2016.

“Kali pertama kami berkongsi idea untuk membantu ibu-ibu usahawan bersama P&G Malaysia dan Mydin masih segar di ingatan saya. Lima tahun kemudian, kami terus menyokong golongan masyarakat ini dimana bantuan perniagaan buat mereka masih tidak mencukupi. Perniagaan mereka dilabel tidak berskala ataupun ‘home-based’, sekaligus tidak dianggap penting oleh mereka yang sering memilih untuk membantu usahawan sepenuh masa.

“Saya rasa ini tidak adil untuk ibu-ibu usahawan yang memerlukan bantuan untuk menyara

keluarga. Langkah Ibu Nakhoda Hidup seterusnya adalah untuk memberi sesuatu yang lebih mendalam menerusi pendidikan kewangan berkaitan isi rumah dan perniagaan kecil untuk mewujudkan satu ekosistem sihat dimana mereka boleh belajar dari ‘mompreneurs’ lain,” kata Izza Izelan, Pengarah Eksekutif WOMEN:girls.

Untuk siri jelajah pula, pasukan WOMEN:girls melawat 10 lokasi MYDIN sekitar Malaysia termasuklah MYDIN USJ (Selangor), MYDIN Meru Raya and MYDIN Parit Buntar (Perak), MYDIN Senawang (Negeri Sembilan), MYDIN Gong Badak (Terengganu), MYDIN MiTC (Melaka), MYDIN Taman Batik (Kedah), MYDIN Bukit Mertajam (Penang), MYDIN Vista Tunku (Sarawak) dan MYDIN Mutiara Rini (Johor Bharu).

Turut dijalankan pertandingan “Mak Aku Cakap” di Instagram yang dibuka kepada umum dimana peserta perlu menghantar video perkara yang sering dikatakan ibu dalam cara paling kreatif. Tiga pemenang mingguan telah dipilih untuk menerima baucar pembelian MYDIN bernilai RM1,000 setiap satu.




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top