Raja Arab Saudi Taja 200 Mangsa Tragedi Christchurch Tunaikan Ibadah Haji

Masihkah anda ingat tentang tragedi yang menyayati hati di Masjid Al- Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang meragut nyawa seramai 50 orang muslim sudah lima bulan berlalu, namun, masih berlegar-legar di fikiran seluruh masyakat dunia.

Kita kena ingat, seringkali Allah datangkan ujian mesti ada hikmah kepada hambanya. Siapa tahu, daripada ujian itu adanya hidayah Allah kepada semua hambanya yang terpilih.

Bagi Mohd Tarmizi Shuib dan keluarganya peluang untuk menunaikan ibadah haji, kewajiban yang diwajibkan  kepada setiap  umat Muslim yang mampu bagi menunaikan rukun Islam yang kelima itu, pada musim Haji tahun ini tidak dijangka sama-sekali.

Seperti ada hikmahnya. Setelah apa yang kami lalui, kami sentiasa berdoa kepada Allah agar kami sentiasa diberikan kekuatan dan petunjuk dan kami tidak menjangka kurniaan ini menjadi tetamu Nya ke tanah suci (mengerjakan Haji)” katanya.

Mohd Tarmizi, 42, merupakan salah seorang daripada rakyat  Malaysia yang menjadi mangsa serangan pengganas di Christchurch New Zealand, di mana anaknya, Muhammad Haziq,17, turut terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai itu. Serangan pengganas itu terhadap  dua masjid di Christchurch mengorbankan 50 orang dan ramai yang lain cedera.

Mohd Tarmizi bersama isterinya, Dr Marina Zahari, dan anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun, Muhammad Hariz adalah antara 200 keluarga mangsa kejadian itu yang ditaja oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, untuk menunaikan ibadah Haji di bawah program tetamu Raja Saudi 2019.

“Kami tidak pernah mengharapkan kurniaan ini diberikan kepada kami untuk melaksanakan ibadah Haji tahun ini. Ia sukar dipercayai selepas beberapa bulan masa yang sukar yang telah kami alami sejak kejadian yang tragis itu. Ini adalah ganjaran yang besar dari Allah, kerana kami menjadi tetamu Allah, ” katanya kepada pemberita.

Ketika kejadian itu, Mohd Tarmizi cedera parah aklibat terkena tembakan.

Katanya ketika mendengar tembakan, beliau panik, dan melarikan diri menuju pintu depan sebelum menyedari penembak itu ada di situ. Beliau kemudian meluru mendapatkan anak keduanya (Muhamad Hariz), sebelum keluar melalui pintu alternatif dan memanjat beberapa pagar perumahan untuk melepaskan diri dengan anaknya.

Saya tidak sedar bahawa saya cedera, dan tiba-tiba kaki saya berlumuran darah. Saya melihat garaj berhampiran dan memutuskan untuk berlindung di sana bersama anak saya dan menyedari bahawa Muhammad Haziq tidak bersama saya. Pada masa itu saya terus berdoa untuk keselamatan anak-anak saya dan saya, “jelasnya ketika mengimbau kembali peristiwa itu.

Mohd Tarmizi mengakui beliau dan keluarganya berada dalam keadaan hiba selama beberapa bulan tetapi mereka menerima banyak sokongan moral daripada  masyarakat setempat dan kerajaan New Zealand, bersama-sama kerajaan Malaysia untuk mengatasi trauma dan pemikiran negatif.

“Sokongan itu memperlihatkan kepada kami bahawa apa yang kami lalui dalam kehidupan kami merupakan sebahagian ujian Allah, kami harus menerimanya dengan hati yang  reda.” kata Mohd Tarmizi.

Mohd Tarmizi serta keluarga tiba di Makkah pada 2 Ogos dan dijadualkan kembali ke New Zealand pada 16 Ogos. Program tahunan itu adalah anjuran Kementerian Hal Ehwal Islam, Da’wah dan Bimbingan Arab Saudi dan dibiayai secara peribadi oleh Raja Salman.

Pembiayaan itu termasuk tempat tinggal para jemaah, tiket pesawat, makan minum serta perbelanjaan bagi mengerjakan Haji.

Program yang telah dijalankan sejak lebih dari 20 tahun itu , bertujuan mengumpulkan jemaah haji bersama agar mereka dapat bertukar pandangan mengenai Islam dan mengukuhkan hubungan sesama umat.

Seramai 1,300 jemaah Haji dari 72 buah negara terpilih menyertai program itu pada musim Haji tahun ini termasuk 20 dari Malaysia.

Arab Saudi merancang untuk menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada tahun-tahun akan datang berdasarkan Wawasan 2030 yang diperkenalkan oleh Putera Mahkota  Arab Saudi Mohammed bin Salman.

Sumber: Bernama



Post a Comment

0 Comments