Penantian Rakyat Malaysia Berakhir, Ainul Mardhiah Selamat Tiba Di Tanah Air

Penantian rakyat Malaysia terhadap kepulangan Ainul Mardhiah ke tanah air kini berakhir setelah dilaporkan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan penerbangan MH0003 dari London.

Sejurus tiba, bapa Ainul, Ahmad Safiuddin memaklumkan bahawa puteri kesayangannya itu berada dalam keadaan yang sihat. Dia turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan perjalanan mereka di sana.

Alhamdulillah, Ainul sihat. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan. Alhamdulillah kami selamat sampai.

Alhamdulillah keadaan semua ‘ok’ kami selamat sampai dan tiada sebarang masalah di atas ‘flight’.

Ainul juga dikatakan berada di dalam keadaan yang baik sepanjang penerbangan yang memakan masa sekitar 12 jam. Walau bagaimanapun, bayi berusia 11 bulan itu dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan dan pemantauan. Ketibaan Ainul Mardhiah bersama bapanya dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, disambut lebih 20 orang keluarga terdekat di KLIA.

Penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.

Ainul Mardhiah yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’ tiba di London pada 25 Mei dan menjalani pembedahan  selama lima jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang tumor seberat 200 gram pada 10 Jun.

Pembedahan itu dilakukan oleh  sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari bulan lepas.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.

Sumber: Bernama

 




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top