Keluarga Ainul Mardhiah Menunggu Detik Ulang Tahun Pertamanya

Kuala Lumpur : Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin terus berada dalam keadaan yang sihat dan stabil dengan ibubapanya menunggu detik untuk merakam sambutan hari kelahiran pertama puteri sulung mereka itu dalam tempoh 13 hari lagi.

Ainul Mardhiah yang sebelum ini menjalani pembedahan di London untuk membuang ketumbuhan di mulutnya kini berada di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Bayi itu masih menunggu pemeriksaan lanjut dan pengimejan di bahagian dada bagi mengetahui sama ada terdapat jangkitan kuman sebelum boleh dibenarkan pulang.

”Masa penerbangan pertama dari Malaysia ke London, Ainul pernah kena jangkitan kuman. Kami tak nak benda ini berlaku lagi sebab itu ambil keputusan untuk terus ke HKL apabila tiba pada Ahad lepas,” kata ibunya Nurul Erwani Zaidi, 24 kepada sumber semasa ditemui di hospital itu.

”Ainul dilahirkan pada 13 Ogos 2018, masih ada 13 hari lagi sebelum Ainul genap satu tahun.

”Saya tidak akan memaksa Ainul untuk merangkak, meniarap atau berkata seperti kanak-kanak lain kerana saya terima dia seadanya dan sanggup menunggu untuk melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

“Saya sentiasa mendoakan dan berharap agar Ainul juga diberi kesempatan itu,” katanya.

Nurul Erwani yang tidak bekerja ketika ini menumpukan sepenuh masanya untuk menjaga Ainul di hospital secara bergilir dengan suaminya.

Manakala suaminya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, pula masih bekerja selain menguruskan sebuah kedai runcit miliknya “Asar Halmart” di Taman Desa Molek, Melaka.

Kedai itu yang menjual produk makanan dan minuman Muslim turut memasarkan produk atas nama anaknya iaitu Ainul’s Popcorn,  bagi menambah pendapatan untuk menanggung kos rawatan dan penjagaan serta masa depan Ainul Mardhiah.

Bayi itu yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’ tiba di London pada 25 Mei dan menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada 10 Jun.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang dengan pelatih pakar bedah Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan itu.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular di laman sosial media.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi selama tiga hari pada Jun lepas.

Sumber : Bernama




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top