(Video) “Itu Suara Anak Saya”, Ibu Terima Kejutan Naik Pesawat Dikemudi Anak Sendiri

Satu pasangan suami isteri baru-baru ini telah menerima salah satu kejutan terbesar dalam hidup mereka apabila pulang ke tanah air menaiki pesawat yang dikemudi oleh anak mereka sendiri.

Raphael Leong, 36 tahun yang berkhidmat dengan penerbangan Jetstar Asia Airways, memberitahu beliau sanggup menukar jadual penerbangannya bersama juruterbang lain bagi membolehkannya menaiki pesawat yang sama dengan ibu bapanya.

Mereka bersama-sama menaiki penerbangan Jetstar Asia Flight 3K588 ke Singapura dari Ho Chi Minh, Vietnam. Walaupun sudah lama berkhidmat sebagai juruterbang, Leong tidak berpeluang membawa ibu bapanya sebelum ini.

Ibu bapanya tidak menyedari akan perkara itu sehinggalah beliau membuat pengumuman mengenainya menggunakan mikrofon dalam pesawat berkenaan.

Beliau menjangkakan ibunya untuk berteriak gembira apabila dia membuat pengumuman tersebut, tetapi dia hanya melihat bapanya sahaja yang melambai ke arahnya.

“Saya jangkakan ibu pasti akan teriak keseronakan bila melihat saya, tapi saya hanya melihat bapa melambaikan tangannya. Kemudian baru saya dapat tahu yang ibu ketika itu sedang berada di tandas,” katanya kepada pihak Jetstar.

Dalam temuramah bersama syarikat tersebut, ibunya yang dikenali sebagai Rosalind berkata dia sangat berbangga dengan apa yang dicapai oleh anaknya sekarang.

“Saya sering katakan padanya untuk menggapai langit, dan dia benar-benar lakukannya. Saya sungguh berbangga dengan anak saya”, kata beliau.

Sumber: Jetstar Asia, AsiaOne




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top