(Video)Kedainya Dimasuki Pencuri, Tetapi Layanan Baik Pemilik Kedai Ini Wajar Dipuji

Sekiranya rumah atau kedai yang kita miliki dimasuki pencuri dan kita berjaya menangkap pelaku, sudah pasti majoriti daripada kita akan menyerahkan pelaku tersebut kepada pihak polis, bukan? Atau lebih teruk lagi, kita mungkin mengambil tindakan sendiri terhadap suspek.

Ia berbeza bagi seorang pengurus bagi salah satu kedai rangkaian popular 7-Eleven di Toledo, Ohio ini. Jay Singh telah berjaya menangkap seorang remaja lelaki yang cuba mencuri di kedai miliknya namun tidak menyerahkannya kepada pihak polis.

Sebaliknya, beliau telah memberi makan kepada si pelaku selepas melihat suspek hanya cuba mencuri produk-produk makanan sahaja dengan memasukkannya ke dalam poket.

Beliau menahan suspek ketika dia ke kaunter untuk membayar barangan yang ‘dibeli’. “Di kaunter, saya arahkannya untuk keluarkan segala yang disorokkan di dalam sakunya lantas dia mengeluarkan satu barangan,” katanya kepada CNN.

Jay kemudiannya memberitahu pelaku bahawa beliau tahu dia ada menyimpan lebih banyak barangan dan mengarahkannya mengeluarkan kesemuanya atau beliau akan menelefon pihak polis.

Selepas itu, beliau bertanya kepada pelaku, “Mengapa kamu mencuri?” dan dia menjawab “Saya lapar.” Sejurus mendengar jawapan berkenaan, Jay membuat keputusan untuk melepaskan suspek tanpa menyerahkannya kepada pihak polis.

Bukan itu sahaja, beliau juga memberikan suspek makanan panas. Ketika ditanya mengapa beliau melepaskan suspek, “Dia mencuri kerana lapar, bukannya mahu menjual semula barangan yang dicuri.”

Jay Singh juga berkata bahawa beliau tidak mahu merosakkan masa depan remaja berkenaan sekiranya dia dipenjarakan. “Jika dia dipenjara, dia akan mempunyai rekod jenayah dan tidak akan mendapat pekerjaan yang bagus.”

Sumber: India Times




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top