Sanggup berjalan sejauh 2km beli lauk untuk ayah.

Bukan semua orang bernasib baik dilahirkan dalam keluarga yang serba berkemampuan. Celik celik sahaja semua telah tersedia depan mata. Ada yang kais pagi makan pagi. Ada juga yang terpaksa mengikat perut, merasai jerih payah hidup dari usia yang masih kecil.

Seperti lima beradik ini yang menggalas tanggungjawab yang cukup besar dengan menjaga bapa mereka yang lumpuh kerana strok. Tugas ketua keluarga digalas oleh si abang yang masih bersekolah di tingkatan tiga. Biar pun tanpa ibu, mereka mampu menguruskan semuanya bersama walau dalam keadaan serba kekurangan dan daif.

Boleh dikatakan anak-anak ini kesemuanya matang sebelum usia. Bayangkan si adik yang baru berusia 7 tahun sudah faham erti tanggungjawab. Anak ini terpaksa berulang alik setiap hari sejauh 2 kilometer bagi membeli makanan buat si ayah tanpa sedikit pun merungut. Jom ikuti perkongsian oleh Cikgu Fadli Salleh seperti di bawah. Moga sedikit sebanyak menyuntik kesedaran buat semua agar mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Tuhan.

“Awak nak basikal tak?” tanya Cikgu Ariff pada murid yang bertuah ini.

Tak terkata. Kelu seribu bahasa. Terkesima dia. Satu patah perkataan tidak terungkap. Hanya air mata berjuraian menitis di pipi. Guru-guru lain termasuk Guru Besar turut sama menangis.


Anak ini, anak yang sangat sangat baik. Dia menjaga ayahnya yang menghidapi strok setiap hari. Berjalan kaki dia ke kedai lebih 2 kilometer setiap hari untuk membeli lauk buat ayah sebelum menyuap pula kepada ayahnya.

Yang bagusnya nasi mereka pandai masak sendiri. Namun memasak lauk pauk, mereka tidak pandai lagi.

Lima orang adik-beradik menjaga ayah lumpuh di rumah. Yang sulung baru tingkatan tiga. Yang kedua merupakan murid lelaki baru di tahun enam.

Petang tadi waktu abang aku pergi ziarah mereka, adik perempuan mereka yang di tahun satu itulah yang keluar membeli lauk.

Budak sekecil itu berjalan kaki lebih 2 kilometer hanya untuk beli lauk buat ayah. Abangnya di tahun enam tunggu di rumah masak nasi dan jaga ayah. Memang pandai berdikari mereka ini.

Yang sulung keluar mencari apa-apa pekerjaan untuk mencari sedikit wang saku. Ibu mereka meninggalkan mereka sudah lama. Tinggal lah anak-anak ini terkontang kanting menjaga ayah yang sakit. Entah ke mana pergi, usah ditanya. Kesian apabila melihat mereka.

Keluarga kedua yang abang aku ziarah, pun tidak kurang sedih kisahnya. Anak yang tinggal bersama atuk dan menjaga diri sendiri tanpa ada kasih ayah dan ibu.

Aah, tidak tertulis semua kisah mereka. Tidak tergambar betapa mereka selama ini tabah menghadapi liku-liku hidup. Moga diberi kekuatan kepada mereka.

Sebab itu bila ditanya aku, adakah aku perlu sumbangan lagi. Jawapannya ya. Aku sangat perlu kerana Dana Kita bergerak saban hari dan memerlukan belanja yang sangat besar saban bulan.

Setiap keluarga pula kami bantu terus. Kami sendiri sampai. Aku takkan layan mesej dan pm minta duit. Kami turun dan lihat sendiri, baru kami bantu mengikut apa yang munasabah dan kemampuan dana kecil kami.

Terima kasih banyak-banyak kepada semua para penyumbang. Kerana sumbangan kalianlah kami semua mampu turun padang dan menyantuni golongan seperti ini. Alhamdulillah.

Kita mungkin tidak ditakdirkan untuk bersua di dunia. Namun aku berdoa pada Tuhan agar kita saling menyapa di taman-taman syurga. Amin.

Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

Sumber : siakapkeli via FB Mohd Fadli Salleh

Sungguh tabah anak anak ini menghadapi ujian yang dihadapi. Doakan agar mereka dipermudahkan segala urusan.

The post Sanggup berjalan sejauh 2km beli lauk untuk ayah. appeared first on Lubok Viral.




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top