Polis Buru Warden Liwat Pelajar Tahfiz – KP Perlis

Kangar : Warden asrama yang disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar sebuah pusat tahfiz di negeri ini dipercayai melarikan diri ke Ipoh, Perak.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohamad berkata suspek yang berumur 28 tahun itu masih belum berkahwin dipercayai melarikan diri sejurus laporan polis dibuat oleh seorang guru dari pusat tahfiz berkenaan.

“Kita sudah pun menerima maklumat bahawa suspek kini berada di Ipoh dan kita meminta bantuan polis di Perak bagi memberkas suspek dan menunggu maklum balas daripada pihak di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang guru tahfiz disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar tahfiz berumur antara sembilan hingga 15 tahun, sejak April lepas selepas laporan dibuat oleh guru yang juga kakitangan pusat tahfiz berkenaan di Balai Polis Simpang Empat, Arau, semalam.

Berdasarkan laporan guru terbabit, seorang mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden berkenaan.

Mangsa mendakwa suspek mengugut memukulnya sekiranya kejadian itu dilaporkan namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan.

Polis mendapati seorang lagi pelajar berusia sembilan tahun turut mendakwa diliwat suspek yang kerap memeluk dan mencium semua mangsa lain serta mengajak mereka menonton video lucah di biliknya.

Kes disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber : Bernama




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top