Perhilitan Mungkin Dakwa Remaja Tembak Monyet Dalam Sangkar

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta melihat kemungkinan mengenakan tuduhan terhadap seorang remaja yang menembak mati seekor monyet dalam sangkar di Lambor Kira, Bota, Perak, pada 18 Mei lalu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, beliau telah meminta Jabatan Perhilitan melihat perundangan yang sedia ada untuk membolehkan tindakan diambil terhadap remaja berusia 19 tahun itu.

Beliau mengulas perbuatan kejam remaja tersebut yang menembak kepala seekor monyet yang terkurung dalam sangkar seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Berikutan insiden itu, remaja berkenaan dan bapanya berusia 54 tahun yang juga pemilik senjata api berkenaan ditahan polis untuk membantu siasatan lanjut.

Xavier berkata beliau dimaklumkan polis telah melengkapkan siasatan dan tekah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 20 saat menjadi tular yang memaparkan seorang remaja lelaki menembak seekor monyet dalam sangkar kerana enggan bercakap ‘baby sayang’.

Menerusi rakaman video, lelaki itu mengugut dan menyuruh seekor monyet bercakap perkataan ‘baby sayang’ dan menembak monyet itu kerana tidak berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Xavier berkata kerajaanbercadang untuk memulakan proses pemetaan digital bagi mengenal pasti sumber air mentah bawah tanah di seluruh negara.

“Kajian menunjukkan Malaysia mempunyai lima bilion meter padu sumber air bawah tanah dan sumber yang belum diteroka itu sebagai alternatif bagi mengatasi kekurangan bekalan air,” katanya kepada media di sini hari ini.

Menurut beliau, proses pemetaan digital akan dimulakan di neger-negeri yang mempunyai banyak sumber air mentah bawah tanah seperti Johor, Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya perlu mendapatkan teknoloji pemetaan digital tersebut daripada Jepun.

“Saya​​​​​​​ bercadang pergi ke Jepun bulan depan bagi mendapatkan kerjasama kerajaan Jepun dalam bidang ini,”katanya.

Sumber: BERNAMA




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top