Pemergian Tokoh Agama Terkenal Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz

PEMERGIAN tokoh agama terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, hari ini, bukan sahaja ‘ditangisi’ rakan-rakan pendakwah, malah pemimpin negara dan netizen turut berkongsi kesedihan masing-masing.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak kecil sebagai tokoh dakwah yang sangat berpengaruh.

“Masih jelas di ingatan, celoteh beliau dalam Forum Perdana Ehwal Islam satu ketika dahulu. Dalam gelak tawa, ada nasihat dan kata hikmah yang pastinya menyegarkan minda dan hati.

“Selamat menuju ke negeri yang baqa’. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di Facebook.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia 7.30 pagi tadi selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika hendak menunaikan solat subuh.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam catatan di Twitter berkata, beliau sayu menerima perkhabaran itu dan mendoakan semoga Allahyarham dikurniakan husnul khotimah dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan saya doakan agar segala urusan dipermudahkan. Al-Fatihah,” katanya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pula berkata, negara kehilangan seorang permata agamawan yang terbilang, mencurahkan bakti untuk perkembangan ilmu al-Quran.

Pengguna media sosial turut bersedih, dan ramai yang mengenang jasa Allahyarham semasa hayatnya.

Pencetus Ummah (PU) Amin berkongsi foto kuliah Maghrib terakhir yang disampaikan Allahyarham Abu Hassan semalam.

“Dakwah hingga akhir hayatnya. Beginilah sirah hidup seorang pejuang dan pendakwah agama. Sungguh hebat dan istimewa para ulama,” katanya.

Blogger Dr Anwar Fazal pula berkata: “Pagi yang sangat hiba. Perginya seorang lagi permata ummah. Entah kenapa sebaknya luar biasa.”

Turut dikongsikan netizen ialah pemergian Allahyarham Abu Hassan menyusuli dua abangnya iaitu Allahyarham Ustaz Ishak Din dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Haron, 76, meninggal dunia pada September 2016 di Hospital Stanford University, San Francisco, AS akibat komplikasi jantung, manakala Ishak, 78, meninggal dunia ketika sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira dua bulan kemudian.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja dan sila like share page Kekasih Jiwang.

Sumber : Harian Metro




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top