Pembantu Khas Sultan Abdullah Dedah ‘Sesuatu’, Ramai Tak Sangka Ini Perilaku Sebenar Baginda

Disiplin dan ketelitian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tercermin dalam setiap perilaku baginda antara keperibadian yang sering menjadi teladan kepada setiap petugas, khususnya bagi mereka yang saban hari bersama baginda.

Tradisi ketenteraan yang mementingkan soal disiplin menjadikan baginda yang pernah mengikuti latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom pada tahun 1978 seorang yang cukup cermat dalam melakukan sesuatu.

Berkongsi pengalaman sebagai Pembantu khas baginda, Datuk Abd Rahman Endut, 65, berkata ketelitian itu secara tidak langsung ‘melatih’ mereka yang berkhidmat atau mahu berurusan dengan baginda melaksanakan tugasan dengan penuh tertib dan cermat.

” Kalau ada surat yang diutuskan kepada baginda, atau semasa membaca minit mesyuarat yang dipersembahkan kepada baginda, setiap perkataan akan diteliti.

” Jika ada satu kesalahan ejaan yang ditemuinya, Sultan Abdullah akan menitahkan supaya surat itu ditulis semula…baginda bukan murka sebaliknya hanya mahu si pelakunya melaksanakan tugasan dengan betul,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lepas akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan ini.

Abd Rahman yang menyaksikan perkembangan Sultan Abdullah dari zaman bujang sehingga kini menambah, didikan ketenteraan juga menjadikan baginda seorang yang berdisiplin dan memandang berat akan kemuliaan bendera.

Katanya, pernah semasa baginda mencemar duli di Teluk Chempedak, Kuantan dekat sini, Sultan Abdullah menegur keadaan bendera Malaysia yang lusuh dan koyak, lalu menitahkan supaya ia digantikan segera.

Begitu juga dalam istiadat tentera, yang mana Sultan Abdullah akan memerhatikan pemakaian setiap anggota dan akan menegur jika ada menyedari ada di antara mereka tidak mengilatkan kasut.

Ketelitian baginda juga menurut Abd Rahman, menyebabkan ma yat seorang pelajar sebuah sekolah agama di Pekan yang terlibat dalam kebakaran sekitar tahun 80-an ditemui.

” Tuanku disembah maklum mengenai kejadian pukul 3 pagi, selepas operasi memadam kebakaran selesai. Baginda terus bertitah dibawa ke lokasi kejadian dan dimaklumkan oleh pegawai bomba yang tiada mangsa terlibat.

” Baginda terdiam sejenak dan kemudian menitahkan supaya bilangan pelajar dikira… ternyata kurang seorang. Baginda kemudiannya mencemar duli mengikut operasi mencari pelajar itu di bangunan yang terbakar.

” Di suatu sudut asrama, baginda menemui jena zah pelajar itu di bawah katil. Saya yang berada di belakang tuanku semasa itu tergamam melihat jena zah rentung. Jika tidak dititahkan tuanku (mengira bilangan pelajar), pasti jena zah lewat ditemui,” katanya.

Tidak lengkap bercerita dengan ‘orang rapat’ Sultan Abdullah, jika tidak bertanya kegemaran baginda di masa lapang, yang mana Abd Rahman menjelaskan membaca adalah salah satu cara baginda menghasilkan masa.

Katanya, genre pilihan Sultan Abdullah ialah bibliografi pemimpin dan individu terkenal dunia sama ada dari masa dahulu hingga kini, buku agama, buku berkaitan aspek ketenteraan serta undang-undang.

” Tuanku juga menjadikan amalan membaca al-Quran apabila ada kesempatan sebagai sebahagian daripada amalan baginda dan pernah pernah mengaji di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke majlis,” katanya.

Abd Rahman menambah, Sultan Abdullah juga menjadikan rutin menyertai bacaan al-Quran bersama jemaah Masjid Al Imam Ash shafie di sini, selepas solat Subuh sbelum berangkat pulang ke Istana Abdulaziz yang terletak berhampiran.

Abd Rahman menambah Sultan Abdullah juga tidak gemar membazir dan tidak mahu diberikan layanan istimewa atau penambahbaikan dilakukan hanya kerana baginda akan mencemar duli untuk ke situ.

“… yang penting bagi baginda ialah bersih. Tuanku selalu berpesan jangan dibuat tandas baru semata-mata kerana baginda mahu berkunjung ke situ. Tidak mengapa jika sudah uzur asalkan bersih dan boleh digunakan.

” Sama juga jika ke kedai cendol. Baginda boleh bersantap menggunakan mangkuk yang sama digunakan pelanggan lain, tapi syaratnya mesti bersih,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Newsviral

Sumber : bernama




Lagi Menarik Di ViralSini :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top